global

Hyundai perkenal teksi udara Uber

Oleh AFP

LAS VEGAS: Hyundai, Isnin lalu, mengumumkan akan menghasilkan kereta terbang untuk jaringan pengangkutan udara bagi Uber yang dijangka beroperasi pada 2023.

Pengeluar Korea Selatan itu berkata, ia akan mengeluarkan kenderaan dengan empat penumpang dalam skala automotif.

Ia diumumkan pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas dijangka membantu Uber, yang turut bekerjasama dengan pengeluar pesawat lain bagi tujuan itu.

Ketua bahagian mobiliti udara Hyundai, Jaiwon Shin, berkata, dia menjangka pengeluaran kenderaan itu dalam skala besar akan membuatkan kos perkhidmatan itu lebih murah.

“Kita tahu bagaimana untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi untuk pasaran,” katanya.

Ketua Uber Elevate, Eric Allison, tampil bersama dengan Hyundai untuk membincangkan kerjasama berkenaan.

“Dengan menggunakan perkhidmatan itu dari dua grid dimensi pengangkutan iaitu darat dan udara, kita akan menawarkan penjimatan masa untuk pelanggan,” kata Allison.

Beliau berkata, hanya apikasi Uber yang dapat menawarkan jaringan antara kereta, kereta api, basikal dan pesawat.

Sebelum ini, Uber mengumumkan bahawa ia sudah memilih Melbourne di samping Dallas dan

Los Angeles untuk menawarkan pesawat Uber Air.

Pesawat percubaan dijangka pada 2020 dan operasi komersial pada 2023.

Hyundai menggunakan CES untuk menunjukkan model S-A1 dengan kelajuan mencecah 290 kilometer sejam.

Kenderaan itu memiliki beberapa bilah kipas, sebagai persediaan jika satu daripadanya gagal berfungsi.

Bilah kipas yang lebih kecil juga dapat mengurangkan bunyi bising.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 11:49am
d