global

Beg plastik akan dilarang di Jakarta

Oleh Reuters

IBU NEGARA Indonesia yang tersenarai sebagai pelaku kedua terburuk mencemari laut dengan plastik, melarang penggunaan beg plastik di pasar jalanan dan pusat beli-belah bermula pertengahan tahun ini.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menandatangani peraturan berkenaan pada 27 Disember lalu susulan langkah yang diambil Bali yang melarang penggunaan plastik di pulau berkenaan pada tahun lalu.

Menurut laporan Jurnal Sains pada 2015, China membuang lebih banyak sampah plastik di laut berbanding Indonesia yang mempunyai 260 juta penduduk.

Agensi alam sekitar Jakarta mengatakan tapak pelupusan di bandar itu hampir padat dan tidak dapat menampung jumlah sisa pepejal dijana oleh kawasan metropolitan dengan 30 juta orang penduduk.

Peraturan baharu berkenaan menetapkan pemilik kedai dan gerai perlu menyediakan beg mesra alam pada masa akan datang.

Penalti akan dikenakan termasuk amaran bertulis dan denda antara $360 (RM1,473.30) dan $1,800 (RM7366.50), sehingga penggantungan atau penamatan permit perdagangan.

Bentuk plastik yang dilarang dalam peraturan berkenaan termasuk beg lateks, termoplastik dan polietilena.

Wakil Persatuan Penyewa Pusat Beli-Belah, Tutum Rahanta berkata, kerajaan gagal memikirkan langkah alternatif.

“Pengguna tidak sepatutnya dikorbankan.

“Kerajaan mahu mengharamkan beg plastik, tetapi apabila kami bertanya kepada mereka apa alternatifnya, mereka tidak pernah memikirkannya,” kata Rahanta.

Sementara itu, penjual cenderahati di Jakarta Timur, Ardiansyah Rizza, 34, berkata, masyarakat menerima perubahan diperlukan namun tempoh enam bulan tidak cukup untuk beralih kepada membeli belah tanpa beg plastik.

“Tempoh antara Januari hingga Jun terlalu singkat,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2020 @ 10:38pm
d