global

80 rakyat AS terbunuh

Oleh BERNAMA

SERANGAN peluru berpandu balistik ke atas pangkalan tentera Iraq pada awal pagi ini telah menyebabkan 80 rakyat Amerika Syarikat (AS) terbunuh, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan stesen penyiar rasmi Iran.

Dakwaan dibuat selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik terhadap tentera AS dan tentera gabungan di Iraq.

Peluru berpandu itu telah dilancarkan dari Iran dan menyasarkan sekurang-kurangnya dua pangkalan tentera Iraq di mana tentera AS dan tentera gabungan ditempatkan iaitu Al-Asad dan Erbil, menurut jurucakap Pentagon, Jonathan Hoffman, dalam satu kenyataan.

Pentagon berkata, ia sedang menyiasat sama ada terdapat anggota tentera AS terbunuh atau cedera dalam serangan itu.

Menteri Luar Iran Javad Zarif berkata Tehran telah "merumuskan langkah-langkah yang bersesuaian" sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan komander tertinggi tentera elitnya, Qasem Soleimani, oleh AS minggu lepas, sambil menambah bahawa Tehran tidak berhasrat untuk berperang dengan AS.

Serangan hari ini meneruskan beberapa siri tindakan saling membalas antara AS dan pasukan tentera disokong Iran yang bermula dengan pembunuhan seorang kontraktor Amerika di sebuah pangkalan tentera AS di Iraq pada akhir bulan lalu.

AS membalas insiden itu dengan melancarkan serangan udara ke atas militia disokong Iran yang didakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu dan menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh.

Kedutaan AS di Baghdad telah diserang pada Selasa lepas oleh sekumpulan anggota militia dan penunjuk perasaan.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 6:53pm
d