global

Bekas presiden Perancis pertama didakwa rasuah

Oleh AFP

NICOLAS Sarkozy akan menjadi bekas presiden Perancis pertama dibicarakan bagi tuduhan rasuah, 5 Oktober ini.

Mahkamah di Perancis menetapkan perbicaraan itu berlangsung sehingga 22 Oktober.

Sarkozy, 64, didakwa cuba mendapat maklumat rahsia daripada hakim Gilbert Azibert pada 2014 menerusi peguamnya Thierry Herzog, berhubung kes lain yang sudah diketepikan.

Sebagai balasan, hakim itu akan dibantu untuk mendapatkan jawatan di Monaco.

Kes ini adalah perbicaraan pertama susulan beberapa siasatan rasuah terhadap Sarkozy, yang menggalas tugas sebagai presiden Perancis dari 2007 hingga 2012.

Jun lalu, hakim rayuan menolak cabaran difailkan oleh Sarkozy, Herzog dan Azibert terhadap kes rasuah dan pengaruh.

Herzog dan Azibert juga akan dibicarakan kerana melanggar kerahsiaan profesional.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 12:19am
d