global

Terkejut pengumuman Harry

Reuters

London: Keluarga diraja Britain tersinggung dan kecewa dengan pengumuman mengejut dibuat Putera Harry dan isterinya, Meghan yang ingin berundur dari tugas rasmi berikutan mahu meluangkan lebih masa di Amerika Utara.

Menurut sumber Istana Buckingham, perbincangan bersama Harry dan Meghan masih lagi berlangsung.

"Kami memahami keinginan mereka yang mengambil pendekatan berbeza tetapi isu ini rumit dan memerlukan masa untuk diperhalusi," kata kenyataan itu.

Petang semalam, Harry dan Meghan membuat pengumuman di media sosial mengenai pengunduran mereka daripada tugas rasmi.

Media melaporkan Duke dan Duchess of Sussex itu tidak berunding terlebih dahulu dengan bapanya, Putera Charles dan Ratu Elizabeth II mengenai keputusan mereka itu.

Berita mengejutkan itu susulan pengakuan pasangan itu sebelum ini yang berdepan tekanan liputan media dan dakwaan hubungan dingin dengan Putera Charles.

Harry berharap, pengunduran itu memberikan mereka ruang berdikari dan membangunkan pertubuhan amal baru di samping meneruskan sebahagian daripada tugas rasmi istana.

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 5:39pm
d