global

Harry, Meghan mahu berdikari

Oleh Agensi

PUTERA Harry dan isterinya, Meghan mengejutkan keluarga diraja Britain apabila mengundur diri daripada tugas rasmi, tanpa berbincang dengan Ratu Elizabeth II.

Dalam kenyataan menggemparkan itu, pasangan itu menyatakan akan meluangkan masa di Amerika Utara.

Media melaporkan Duke dan Duchess of Sussex itu tidak memberitahu keputusan berkenaan terlebih dahulu kepada bapanya, Putera Charles dan Ratu Elizabeth II.

Berita mengejutkan itu susulan pengakuan pasangan itu sebelum ini yang berdepan tekanan liputan media dan dakwaan hubungan dingin dengan Putera Charles.

“Kami ingin menarik diri dari menjadi ahli keluarga ‘kanan’ kepada keluarga diraja dan berdikari, tetapi pada masa sama menyokong Ratu Elizabeth,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Buckingham.

Kenyataan sama menyebut bahawa pasangan itu akan memulakan fasa baharu itu pada tahun ini.

“Kami akan membahagikan masa di antara United Kingdom dan Amerika Utara,” katanya.

Sementara itu, Istana Buckingham dalam satu lagi kenyataan berkata, perbincangan dengan pasangan berkenaan berhubung itu masih berlangsung.

“Kami memahami mereka mahu mengambil pendekatan baharu, tetapi isu ini kompleks dan memerlukan masa untuk diperhalusi,” katanya.

Harry, 35, dan Meghan, 38, berkahwin di Istana Windsor dan kini memiliki seorang anak lelaki bernama Archie.

Pasangan itu berdepan tekanan selepas liputan media berhubung perkahwinan mereka dan hubungan dengan keluarga diraja British.

Sebelum ini, pendapatan peribadi Putera Charles digunakan untuk membiayai kehidupan pasangan berkenaan manakala, kos penjagaan keselematan disumbangkan polis Britain.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 6:00am
d