global

Ada bukti Iran tembak pesawat

Oleh Agensi

PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau mendedahkan terdapat beberapa sumber bukti mengaitkan Iran menembak Ukraine International Airlines selepas pesawat itu berlepas dari Tehran.

AFP melaporkan, Trudeau menyimpulkan perkara itu berdasarkan kemunculan imej rakaman video di media sosial yang menunjukkan pesawat itu ditembak.

New York Times menyebut, video sahih itu memperlihatkan sebelum letupan berlaku terdapat objek bercahaya bergerak pantas di langit.

Treudeu dalam satu sidang media di Ottawa berkata, berdasarkan maklumat risikan sekutu dan Kanada sendiri, pesawat itu dipercayai dilanggar peluru berpandu milik Iran.

“Kita tahu ini mungkin tidak sengajakan. Rakyat Kanada ada persoalan dan mereka berhak mendapat jawapan,” katanya.

Kenyataan Trudeau itu disokong pemimpin barat lain termasuk Perdana Menteri Britain Boris Johnson yang membuat kesimpulan memang terdapat bukti menunjukkan nahas itu berpunca daripada bedilan peluru berpandu tidak disengajakan.

Media melaporkan, Iran menafikan pesawat Ukraine International Airlines yang terhempas mengorbankan 176 penumpang dan anak kapal dibedil peluru berpandu.

Seramai 63 daripada 176 penumpang pesawat malang itu ialah warga Kanada.

Mereka sebaliknya menjemput Boeing dan semua negara yang mempunyai penumpang di dalam pesawat itu menghantar wakil dalam proses siasatan kotak hitam.

Rabu lalu pesawat Ukraine International Airlines dilaporkan terhempas berhampiran Tehran.

Nahas itu berlaku selepas Iran melancarkan serangan 22 peluru berpandu ke pangkalan menempatkan tentera AS di Iraq.

Serangan pusingan kedua itu sebagai tindak balas Iran terhadap Amerika Syarikat (AS) susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan udara AS berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad Jumaat lalu.

Disiarkan pada: January 10, 2020 @ 12:18pm
d