global

Duta UK ditahan sejam

Oleh AFP

PIHAK berkuasa Iran menahan Duta United Kingdom (UK) ke Iran, Rob Macaire, pada Sabtu lalu ketika melakukan demonstrasi menentang rejim berkenaan.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu dilakukan tanpa penjelasan dan alasan yang kukuh serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Macaire ditahan atas kesalahan menghasut penunjuk perasaan di Tehran yang marah dengan insiden tembakan pesawat Ukraine International Airlines hingga meragut nyawa 176 penumpang dan anak kapal.

Bagaimanapun, Macaire dibebaskan kira-kira sejam selepas ditahan.

Terdahulu, ribuan pelajar berhimpun di Tehran bagi memperingati mangsa yang terkorban di dalam insiden berkenaan.

Presiden Iran, Hassan Rouhani sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa insiden disebabkan kesilapan manusia itu adalah tidak boleh dimaafkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Boris Johnson dalam kenyataannya berkata, mengakui kesilapan adalah langkah penting perlu dilakukan.

Beliau turut memberi sokongan kepada empat keluarga rakyat Britain yang menjadi mangsa nahas berkenaan untuk menuntut hak mereka.

Rabu lalu, pesawat Ukraine International Airlines dilaporkan terhempas berhampiran lapangan terbang antarabangsa di Tehran ketika dalam perjalanan ke Kiev.

Nahas itu berlaku selepas Iran melancarkan serangan 22 peluru berpandu ke pangkalan menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq.

Serangan itu sebagai tindak balas Iran terhadap AS susulan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani.

Soleimani terbunuh dalam serangan dron AS berdekatan lapangan terbang antarabangsa di Baghdad.

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 11:28am
d