global

7 roket bedil markas tentera udara Balad

Oleh BERNAMA

Baghdad: Pangkalan tentera udara Balad di Salahudin, wilayah tengah Iraq yang sebelum ini menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) dibedil tujuh roket Katyusha, semalam.

Agensi berita Xinhua yang memetik sumber berkata, dalam serangan petang semalam, roket disasarkan ke pangkalan yang terletak kira-kira 90 kilometer (km) dari utara Baghdad dan mencederakan dua tentera serta merosakkan bangunan berhampiran.

Balad adalah pangkalan tentera terbesar di Iraq, yang juga dikenali oleh pasukan AS sebagai Aktiviti Sokongan Logistik (LSA) Anaconda.

Pangkalan udara itu menempatkan beberapa tentera AS dan penasihat sebuah syarikat Amerika yang mengendalikan pejuang jet Iraq F-16, tetapi sudah meninggalkannya seminggu lalu selepas gabungan Amerika diketuai AS mengumumkan penggantungan operasinya terhadap militan Daesh di Iraq .

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Serangan itu berlaku selepas beberapa hari selepas ketua militan Syiah, Asa'ib Ahl al-Haq yang disokong Iran, Qais al-Khazali mengumumkan akan bertindak balas terhadap

pembunuhan jeneral tertinggi Iran, komander tertinggi Iraq, Jeneral Qassem Soleimani dalam serangan dron AS.

Ugutan itu susulan tindakan Iran melancarkan peluru berpandu balistik di pangkalan yang menempatkan tentera AS di Anbar barat Iraq dan berhampiran bandar Erbil, ibu negara wilayah Kurdistan.

Minggu lalu, Soleimani terbunuh dalam serangan dron AS berdekatan lapangan terbang antarabangsa di Baghdad.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 12:50pm
d