global

UAE bantu bangunkan ibu negara Indonesia

Oleh Agensi

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi meminta Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammad bin Zayed untuk menjadi seorang daripada ahli jawatankuasa ibu negara baharu Indonesia yang terletak di Kutai Kartanegara, Timur Kalimantan.

Kompas.com melaporkan, Jokowi membuat permintaan berkenaan pada mesyuarat dua hala ketika lawatan kerjanya ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Ahad lalu.

“Kedudukan Putera Mahkota itu belum dimuktamadkan lagi tetapi baginda akan berada dalam jawatankuasa bersama beberapa nama lagi,” kata Menteri Perhubungan dan Pelaburan Maritim Indonesia, Luhut Pandjaitan yang menyertai Jokowi dalam lawatan ke UAE baru-baru ini.

Katanya, Jokowi menegaskan bahawa pembinaan bangunan dan kemudahan kerajaan dibiayai belanjawan negeri, tetapi pembinaan lain akan dibiayai dana dan pelaburan sektor swasta.

Sebelum ini, Luhut berkata, kerajaan UAE menyediakan AS$22.8 bilion (RM93 bilion) untuk dilaburkan di Indonesia melalui dana berdaulat yang dibangunkan bersama SoftBank dan United States International Development Finance Corporation.

“Ketika sesi perjumpaan itu, Putera Mahkota berulang kali menyatakan bahawa Indonesia adalah teman rapat UAE dan sedia maklum dengan kedudukan Indonesia yang mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia,” katanya.

Menurutnya, UAE juga akan melabur untuk pembangunan ibu negara baharu Indonesia itu melalui pelaburan dalam dana berdaulat selain turut menyatakan minat untuk melabur dalam pembangunan Acheh.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 8:23pm
d