global

Padah beri budak hisap vape

Oleh Agensi

New York: Dua remaja berusia 17 tahun didakwa selepas merakam dan memuat naik video kanak-kanak berumur dua tahun menggunakan vape di aplikasi Snapchat.

Daily Mail melaporkan, kejadian itu, ketika remaja itu mengambil upah menjaga kanak-kanak itu

di St Clair Township, Pennsylvania, di sini, pada Khamis lalu.

Menerusi rakaman video yang tersebar sejak Ahad, kanak-kanak terbabit dilihat menghisap vape sebelum batuk dan akhirnya tidak sedarkan diri.

Kanak-kanak berkenaan juga menangis, manakala dua remaja itu mentertawakannya.

Jurucakap polis, Trooper Cliff Greenfield memberitahu WTAE bahawa perkara itu perlu dipandang serius kerana memberi kesan buruk.

“Ini bukan satu jenaka kerana remaja terbabit sepatutnya menjaga kanak-kanak terbabit, bukannya melakukan tindakan yang boleh membahayakan,” katanya.

Sementara itu, Superintendan Dr Barbara Pankins dari The Unified School District of Armagh, Pennsylvania berkata, pihaknya maklum mengenai video berkenaan dan mengesahkan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kita percaya dua pelajar itu melakukannya dan nama mereka sudah diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Unit Siasatan Jenayah Indiana, The Troop A menerusi ciapan di Twitter mengesahkan menerima maklumat mengenai rakaman video yang tersebar itu dan sedang melakukan siasatan.

Berikutan kes itu, dua remaja terbabit dilaporkan menerima ugutan bunuh dan akan dipindahkan dari sekolah kerana dibuli.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 3:41pm
d