global

Perakam pula kena tangkap

Oleh Agensi

TEHRAN: Pihak berkuasa Iran menahan individu yang bertindak merakam insiden pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh oleh peluru berpandu.

BBC melaporkan, individu yang ditahan itu akan berdepan tuduhan berkaitan dengan keselamatan negara.

Presiden Iran Hassan Rouhani berkata, siasatan serta perbicaraan berhubung insiden berkenaan akan diadili oleh mahkamah khas.

“Ini bukanlah kes biasa kerana seluruh dunia akan menyaksikannya.

“Malah, bukan hanya seorang tetapi pihak lain yang bertanggungjawab juga perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam satu ucapan yang disiarkan televisyen tempatan.

Pesawat penumpang milik Ukraine itu terhempas ketika berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa Imam Khomeini di sini, Rabu lalu.

Nahas itu meragut nyawa 176 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

Rakaman video kejadian yang berdurasi 45 saat tular di Twitter hingga menarik perhatian warganet terutama rakyat Iran.

Rakaman berkenaan menunjukkan sebuah objek dengan api yang marak menjunam secara perlahan ke bumi dan akhirnya terhempas hingga menyebabkan letupan besar.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 4:21pm
d