global

Temankan saya ke bulan?

Oleh Agensi

Tokyo: Bilionair Jepun, Yusaku Maezawa yang bakal menjadi pelancong persendirian pertama ke bulan, sudah menerima hampir 20,000 permohonan untuk menjadi teman wanitanya dalam misi berkenaan.

Reuters melaporkan permohonan itu diterima menerusi laman web rancangan khas untuk mencari kekasih ahli perniagaan itu di AbemaTV.

Rancangan itu bagi mencari teman wanita untuk Maezawa untuk menemaninya sebagai penumpang persendirian pertama, kapal angkasa SpaceX, yang akan ke bulan pada 2023.

Maezawa, yang baru-baru ini memutuskan hubungan dengan seorang pelakon wanita Jepun, berkata, beliau menerima permohonan wanita bujang berusia 20 tahun atau lebih, yang mahu menikmati kehidupan dengan sepenuhnya.

Beliau bersetuju dengan idea untuk rancangan bagi mencari teman wanita itu kerana kesunyian dan usianya yang meningkat.

“Saya hidup seperti mana yang diimpikan setakat ini,” katanya yang mempunyai tiga anak bersama dua wanita berbeza.

“Pada usia 44 tahun, ketika perasaan sunyi dan kekosongan mula menyelubungi diri, hanya satu yang saya fikirkan iaitu mencintai seorang wanita,” katanya.

Maezawa yang turut mengiklankan pencariannya di akaun Twitter, berkata: “Kenapa tidak menjadi wanita pertama untuk melancong ke bulan?”

Berdasarkan laman web berkenaan, tarikh tutup permohonan adalah esok dan beliau akan membuat pilihan muktamad menjelang akhir Mac selepas keluar bersama setiap pemohon.

Maezawa, yang juga ketua syarikat fesyen dalam talian, Zozo, sebelum ia dijual kepada Yahoo! Japan tahun lalu, terkenal kerana gemar membeli hasil seni yang mahal.

Dalam pada itu, kapal angkasa SpaceX milik usahawan Elon Musk dijangka mengelilingi bulan pada 2023, tetapi tidak mendarat di atasnya.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 3:41pm
d