global

Demimu adikku

Oleh Agensi

Beijing: Demi menyimpan wang untuk merawat adik lelakinya yang sakit, seorang gadis sanggup mengikat perut dan akhirnya mati akibat komplikasi berpunca daripada masalah kekurangan zat.

Daily Mail melaporkan, Wu Huayan, 24, dari kawasan pedalaman Guizhou, di sini, sudah kematian ibu dan ayah serta mengambil alih tanggungjawab menjaga adik bongsunya yang mengalami masalah kesihatan mental sejak berumur 18 tahun.

Kesempitan hidup memaksa gadis yang mempunyai berat 27 kilogram (kg) itu berjimat dengan hanya membelanjakan dua yuan (kira-kira RM1.20) setiap hari untuk membeli makanan.

Meskipun menerima bantuan bulanan sebanyak 300 yuan (kira-kira RM177) daripada kerajaan, jumlah itu masih tidak mencukupi kerana perlu digunakan untuk menanggung sebahagian bil perubatan adiknya di hospital.

“Saya tidak seperti orang lain yang boleh meminta wang daripada keluarga mereka kerana sudah kematian ibu dan ayah,” katanya dalam rakaman video temu bual bersamanya, Oktober lalu.

Menerusi temubual bersama Guizhou City News, Huayan berkata, dia sedar dirinya mengalami masalah kekurangan zat tetapi tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Selain kekurangan zat, Huayan turut dikesan mengalami masalah pada injap jantung yang memerlukannya menjalani pembedahan dengan kos melebihi 20,000 yuan (kira-kira RM11,819).

Huayan bernasib baik apabila menerima sumbangan 700,000 yuan (kira-kira RM417,634) daripada penyumbang tidak dikenali selain 200,000 yuan (RM118,194) oleh Biro Hal Ehwal Awam Tongren.

Pertubuhan berkenaan turut berjanji untuk memastikan Huayan menerima rawatan perubatan yang sepatutnya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 9:59am
d