global

Buat panggilan palsu elak dimarahi tunang

Oleh Agensi

London: Gara-gara takut dimarahi tunang, seorang penumpang pesawat membuat panggilan bom palsu yang akhirnya memakan diri apabila dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh mahkamah di Lewes.

Tertuduh, Rashidul Islam, 32, dari Brent, menghubungi polis 45 minit sebelum penerbangannya di Lapangan Terbang Gatwick memaklumkan ada seseorang meletakkan bom dalam pesawat dan penerbangan itu perlu ditunda.

Dailymail melaporkan, dia kemudian membuat dua ancaman lanjut menyebabkan kru penerbangan ke Marrakesh terpaksa menurunkan semua 147 penumpang supaya anggota keselamatan dapat memeriksa pesawat berkenaan.

Semua bagasi perlu dikeluarkan dan diperiksa mengakibatkan kelewatan selama tiga jam di lapangan terbang kedua paling sibuk di Britain itu.

Tertuduh yang menaiki penerbangan ke Maghribi untuk melawat tunangnya membuat panggilan palsu itu selepas perjalanannya terganggu dari Cricklewood, London Utara.

Selepas ditahan polis, Islam mengakui dia berbuat demikian berikutan panik dan bimbang tidak dapat menaiki pesawat itu serta tidak mampu membeli tiket lain.

Pendakwa, Natalie Smith berkata, tindakan Islam menyusahkan banyak pihak apabila semua penumpang perlu dipindahkan dan diperiksa, bagasi dikeluarkan dengan kos tiga jam tambahan di landasan yang menelan kos 30,000 pound sterling (RM158,000) ke atas syarikat penerbangan itu.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 2:47pm
d