global

Harry sedih terpaksa lepaskan gelaran

Oleh Agensi

London:Putera Harry amat berdukacita selepas beliau dan isterinya, Meghan Markle, terpaksa melepaskan gelaran diraja.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tiada pilihan lain bagi mencari kehidupan yang lebih baik dengan isterinya dan anak mereka, Archie.

“Saya amat sedih semuanya terpaksa berakhir sebegini,” kata Harry kepada penyokong kepada pertubuhan kebajikan Afrika di London.

Reaksi beremosi itu adalah yang pertama sejak peristiwa yang mengejutkan keluarga diraja Britain itu.

Harry turut menzahirkan kegusaran untuk mengambil langkah yang drastik bagi mengundur diri daripada menjalankan tugas rasmi dan memulakan hidup baharu.

Beliau mengakui sudah lama bersedia untuk meninggalkan dana awam bagi menampung gaya hidup mewahnya.

Bagaimanapun, putera itu berasa kecewa untuk memulangkan gelaran dan pangkat ketenteraan selepas dua kali berkhidmat di Afghanistan dengan tentera Britain.

Beliau membaca teks ucapan pada majlis itu turut meminta semua pihak memahami keputusan berkenaan.

“Kami mahu menempuh hidup baharu - terima kasih kerana memberi kami kekuatan untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Harry dan isterinya Meghan bersetuju melepaskan gelaran diraja dan berhenti daripada menerima dana awam, sebagai sebahagian penyelesaian dengan Ratu Elizabeth II bagi mereka memulakan kehidupan baharu di luar monarki British. - Agensi

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 6:30am
d