global

Ibu tak guna

Oleh Agensi

London: Seorang wanita dihukum penjara 10 tahun selepas memberi koktel dadah kepada anaknya sehingga menyebabkan kematian mangsa, tahun lalu.

BBC melaporkan Holly Strawbridge, 34, menerima hukuman itu selepas kes berkenaan dibicarakan di sebuah mahkamah di sini, baru-baru ini.

Strawbridge, dari Devon, didapati bersalah memberikan dadah di bawah Kelas A itu kepada Tyler Peck, 15, dan dua pertuduhan lain membabitkan kekejaman terhadap mangsa.

Tyler disahkan meninggal dunia akibat terlebih dos morfin dikenali sebagai Oramorph dan Gabapentin.

Mangsa ditemui mati oleh ibunya pada Februari 2019.

Hakim Paul Darlow ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, wanita itu bersalah kerana mengabaikan kanak-kanak dan menggalakkan mangsa mengambil dadah.

“Kejadian ini tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil...seperti kejadian itu tidak pernah terjadi sebelum ini,” katanya.

Mahkamah juga diberitahu, wanita itu menjadikan rumahnya sebagai tempat untuk remaja melepaskan gian terhadap dadah.

Selain itu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah terdapat bukti bahawa Strawbridge sudah beberapa tahun membekalkan alkohol dan dadah kepada anaknya.

Ketika kejadian, wanita itu dikatakan mengambil dadah secara berlebihan.

Selain Tyler, ada dua lagi remaja lelaki berada di rumah itu.

Pada prosiding berkenaan, hakim turut memuji tindakan rakan mangsa yang tampil memberi keterangan di dalam kes itu.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 8:30am
d