global

Miliki rambut terpanjang dunia

Oleh Agensi

NEW DELHI: Seorang remaja perempuan di Gujarat terpaksa mengambil masa satu jam setiap hari untuk menyikat rambutnya yang berukuran lebih 190 sentimeter (cm).

Namun, ‘kesukaran’ yang dihadapi Nilanshi Patel, 17, berbaloi selepas Guiness World Records memilihnya sebagai remaja yang memiliki rambut terpanjang di dunia.

Remaja terbabit yang menerima jolokan ‘Rapunzel’ itu mula menyimpan rambutnya selepas berdepan pengalaman pahit ketika memotong rambut di sebuah kedai ketika berusia enam tahun.

Sejak itu, rambut Nilanshi tidak dipotong dan semakin panjang dari tahun ke tahun sehingga dia terpilih sebagai pemegang rekod dunia November 2018 dengan ukuran 170.5 cm.

Nilanshi berkata, ibunya turut berhasrat untuk meletakkan namanya di dalam rekod dunia Guiness dan gembira dengan pencapaian terbarunya itu.

“Setiap minggu, saya akan mencuci rambut dan memerlukan 30 minit untuk dikeringkan dan satu jam untuk disikat.

“Saya gembira nama terus kekal dalam rekod dunia Guiness dan berhasrat untuk mencipta rekod baru selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 11:40am
d