global

Hanya sebab tak mahu kahwin

Oleh Agensi

Shanghai: Disebabkan enggan berkahwin dengan wanita pilihan keluarga, seorang lelaki mengambil jalan singkat dengan mencuri sebelum ditahan polis, baru-baru ini.

Oddity Central melaporkan lelaki yang dikenali sebagai Chen itu dijadualkan akan berkahwin pada tahun ini, namun dia tiba-tiba menukar fikiran untuk membatalkan perkahwinan berkenaan.

Tanpa berfikir panjang, dia membuat keputusan untuk mencuri sebuah pembesar suara 'bluetooth' bernilai AS$290 (RM1178) dari sebuah kedai di Huashan yang dilengkapi kamera litar tertutup.

Tujuannya hanya satu iaitu dia akan ditahan polis dan menyebabkan perkahwinannya terbatal apabila penahanannya diketahui keluarga kedua-dua pihak.

Namun, hanya beberapa langkah keluar dari kedai selepas melarikan pembesar suara itu, Chen ditahan polis yang kebetulan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Lelaki itu kemudian mengakui mencuri pembesar suara kerana enggan berkahwin namun tidak menyangka akan ditahan secepat itu.

Dia kini masih lagi ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 11:05am
d