global

Bunuh isteri kekasih

Oleh Agensi

RUSSIA: Berang teman lelaki memutuskan hubungan, seorang pengetua sekolah swasta mengupah dua bekas pelajarnya dalam cubaan membunuh isteri kekasihnya itu.

Media tempatan melaporkan, Vasilisa Maslova, 35, ditahan pihak berkuasa kerana tuduhan mengupah Nikolay Frolov, 21, dan Irina Pogarchenko, 20, untuk menyerang Svetlana Khananashvili.

Svetlana adalah seorang akauntan dan isteri kepada ahli politik bandar Moscow, Mikhail Khananashvili yang dipercayai pernah menjalin hubungan sulit dengan Vasilisa.

Isterinya kini bertarung nyawa bergantung hidup dengan alat bantuan pernafasan akibat kehilangan lebih empat liter darah selepas ditikam enam kali di muka, leher, paru-paru dan perut.

Selepas melakukan serangan itu, Vasilisa dipercayai membawa kedua-dua pelajarnya itu lari dari tempat kejadian.

Menurut tabloid tempatan, Komsomolskaya Pravda memaklumkan, Vasilisa dan Mikhail adalah sepasang kekasih yang berpisah kira-kira enam bulan lalu.

“Vasilisa sangat marah dan membuat keputusan untuk menghapuskan pesaingnya.

“Dengan itu dia berharap Mikhail akan kembali kepadanya,” kata sumber itu.

Vasilisa memberitahu polis, dia tiada niat membunuh Svetlana sebaliknya hanya ingin menakut-nakutkan wanita itu saja.

Peguam Vasilisa pula mendedahkan, anak guamnya itu hamil anak kepada ‘suaminya’.

Sementara itu, Mikhail pula menafikan mereka pernah menjalin hubungan sulit tetapi mengakui Vasilisa mempunyai perasaan mendalam terhadapnya sekali gus tidak menolak ia sebagai motif serangan itu.

“Kami berkawan rapat atas dasar hubungan perniagaan, namun apabila jelas semua ini nampak ke arah salah, saya mula menjarakkan hubungan kami dua tahun lalu,” katanya kejadian itu kali kedua isterinya diserang.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 5:36pm
d