global

Ozzie bayi ajaib

Oleh Agensi

AUSTIN: Lazimnya bayi yang dilahirkan dengan anencephaly (pembentukan bahagian kepala tidak sempurna) mempunyai peluang tipis untuk meneruskan hidup.

Namun, bayi ajaib Ozzie Gordon, dari Texas, Amerika Syarikat dilahirkan dengan bahagian otak dan tengkorak tidak terbentuk dengan sempurna, namun masih mampu bertahan hingga kini.

DailyMail melaporkan, ketika ibu bapa bayi berkenaan pasrah dan bersedia menanti saat kematian anak mereka, keajaiban muncul apabila bayi itu masih hidup dan sempat menyambut ulang tahun pertama kelahirannya, Oktober lalu.

Menurut ibunya, Checotah Gordon, 25, dia dan suaminya Omobola mengetahui keadaan bayi mereka itu pada peringkat awal kehamilan menerusi pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

“Pakar mencadangkan bayi ini digugurkan, tetapi kami tidak sanggup dan mahu mengambil risiko melahirkan Ozzie.

“Sebaik dilahirkan, jelas nampak pembentukan bahagian kepalanya tidak sempurna (anencephaly) hingga menampakkan tisu otaknya terkeluar dari tengkorak dinamakan encephalocele.

“Keadaan itu boleh menyebabkan kematian ketika kelahiran, tetapi Ozzie kuat dan mampu bertahan sampai hari ulang tahun pertamanya Oktober lalu selepas menjalani pembedahan,” katanya.

Kata suri rumah itu, pembesaran Ozzie agak perlahan serta bayi itu berisiko tidak boleh berjalan dan sawan.

Katanya, mereka menganggap apa yang berlaku kepada Ozzie satu keajaiban dan mereka sepakat mahu membesarkan dan memberikan kehidupan sempurna kepada Ozzie.

“Orang selalu tanya kami seberapa banyak keajaiban dan berkat Ozzie dalam keluarga kami.

“Kami cuma harap Ozzie dapat hidup lama dan mahu memberikan Ozzie kehidupan yang terbaik sebaik mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 1:10pm
d