global

Canberra isytihar darurat

Oleh AFP

Sydney: Pihak berkuasa di Canberra mengisytiharkan darurat, pertama dalam tempoh dua dekad, susulan kebakaran hutan di ibu negara Australia itu.

Ketua Menteri Wilayah Ibu Negara Australia, Andrew Barr berkata, langkah itu berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu selepas kebakaran diramalkan di pinggir selatan Canberra susulan ramalan cuaca panas.

“Darurat adalah isyarat paling berkesan untuk memberitahu penduduk bahawa mereka dan ahli keluarga perlu bersiap sedia,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penduduk mengenai angin debu berpunca dari asap kebakaran itu.

Kali pertama darurat diisytiharkan di ibu negara itu, pada 2003, apabila kebakaran hutan memusnahkan 500 rumah.

Dalam pada itu, suhu mencecah 40 darjah Celcius di negeri di selatan negara itu, semalam.

Cuaca panas dijangka akan melanda Melbourne dan Canberra, hari ini, sebelum Sydney, pada hujung minggu ini.

Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 10:18am
d