global

AS sekat 6 lagi negara

Oleh Agensi

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan sekatan imigresen terhadap enam lagi negara termasuk Nigera, semalam.

Daily Mail melaporkan, selain Nigeria, sekatan itu juga membabitkan Myanmar, Eritrea, Kyrgyztan, Sudan dan Tanzania.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Chad Wolf berkata, langkah itu diambil berikutan kegagalan negara berkenaan mematuhi pengurusan identiti asas tertentu, perkongsian maklumat dan keselamatan negara serta kriteria penilaian keselamatan awam yang ditubuhkan oleh jabatan pada 2017.

“Sebahagian besar negara ini mahu membantu tetapi gagal memenuhi syarat minimum ditetapkan," katanya kepada pemberita.

Difahamkan, sekatan itu hanya mensasarkan kategori visa tertentu dan akan memberi tumpuan kepada mereka yang mahu berpindah ke AS dan bukannya yang datang sebagai pelawat.

Ketika Forum Ekonomi Dunia di Davos minggu lalu, Trump mengumumkan hasratnya memanjangkan senarai negara yang dikenakan sekatan.

“Kita perlu selamat, negara kita perlu selamat,” katanya.

Sewaktu kempen pilihan rayanya, Trump berulang kali berjanji melaksanakan larangan penuh ke atas umat Islam yang memasuki AS.

Beliau turut mengumumkan pakej pembatalan dan sekatan perjalanannya sejurus mengambil alih pentadbiran pada Januari 2017.

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kritikan dan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menyatakan larangan itu adalah diskriminasi agama.

Pentadbirannya juga mengemukakan versi kedua dasar pada Mac 2017 tetapi ditolak Mahkamah Persekutuan dengan alasan yang sama.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 10:24am
d