global

Ketumbuhan diselaputi rambut 12 sentimeter

Oleh Agensi

MOSCOW: Mengejutkan apabila pasukan perubatan menemui rambut sepanjang 12 sentimeter di ovari seorang wanita di Russia yang pada mulanya berdepan kesakitan akibat ketumbuhan.

Mirror Online melaporkan wanita berusia 30 tahun yang tidak dinamakan itu dipercayai menderita sakit perut sebelum pembedahan menemui ketumbuhan besar diselaputi rambut.

Doktor pakar dari Pusat Perinatal Kolomna, Tatiana Shavrak berkata, ketumbuhan dikenali sebagai ‘dermoid cysts’ adalah tumor tetapi bukan kanser ovari.

“Ia adalah kapsul berdinding tebal di mana kandungannya ialah lendir bercampur pelbagai tisu manusia.

“Di dalam ketumbuhan itu, terdapat lapisan atas kulit, lemak, rambut, tulang dan juga gigi,” katanya.

Dalam kes ini, ketumbuhan yang sepenuhnya diselaputi rambut berjaya dibuang melalui kaedah laparoskopi dan sistem pembiakan wanita itu tidak terjejas.

“Cyst (ketumbuhan) ini keturunan. Ia boleh terjadi ketika zaman kanak-kanak dan tiada siapa boleh meramalkan bila ia akan berkembang.

“Ia boleh berlaku pada usia 15, 30 atau 70 tahun.

“Walaupun nampak mengagumkan dan banyak rambut, cyst ini tumbuh secara simetri di ovari pesakit kami dan ia agak ringan,” katanya.

Gambar itu didedahkan oleh Kementerian Kesihatan Moscow.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 6:45am
d