global

Jadi influencer pula

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang remaja di Russia yang mengandung pada usia 13 tahun selepas mendakwa ‘bersama’ teman lelakinya berusia 10 tahun kini menjadi individu berpengaruh atau influencer di negara itu.

Lebih mengejutkan, remaja dari bandar Zheleznogorsk di Siberia itu mengambil kesempatan atas liputan media terhadapnya untuk meraih tajaan.

Dia dikenali sebagai Daria Dasha Sudnishnikova hanya berusia 13 tahun ketika disahkan mengandung, tetapi baru saja menyambut ulang tahun ke-14, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia dan teman lelakinya masih bersekolah dengan dia belajar di gred tujuh dan kekasihnya itu masih di gred empat.

Mirror Online melaporkan Daria kini kerap berkongsi gambar dan video di media sosial dengan kapsyen yang disertakan tanda pagar ‘Mengandung pada usia 13.’

Akhbar tempatan melaporkan remaja berkenaan cuba untuk memanfaatkan publisiti yang diraih daripada laporan media untuk membuat keuntungan.

Malah, budak itu sedia menerima tajaan dan mahu bekerjasama dengan jenama terkemuka.

Sementara itu, ibu kepada Daria, Elena yang menghidap kanser berkata, dia mahu melawan penyakit itu untuk bersama dengan anak perempuannya itu.

Ibunya sebelum ini dilaporkan berkata, dia hanya menyangka Daria mengalami keracunan makanan.

“Kami kemudian sedar ia adalah benda lain. Selepas membeli alat penguji kehamilan, baru kami tahu dia (Daria) hamil,” katanya.

Bagaimanapun, Elena sama sekali tidak mahu Daria mempertimbang untuk menggugurkan kandungan berkenaan.

“Saya bimbang jika (Daria) menggugurkan kandungannya, dia mungkin tidak boleh mendapat zuriat pada masa depan,” katanya.

Elena juga memberitahu, cucunya yang masih dalam kandungan itu menyebabkan dia bersemangat untuk terus hidup.

“Kini, saya ada sebab untuk terus hidup,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:15am
d