global

Mengaku bunuh mahu beli dadah

Oleh Agensi

London: Seorang lelaki di Tottenham, utara London, tergamak menghentak kepala seorang wanita berusia 89 tahun, 10 kali sehingga mangsa maut, Ogos tahun lalu.

Malah, dia turut melakukan serangan seksual terhadap mangsa.

Lebih menyedihkan, wanita itu mengenali penyerangnya kerana pernah mengupah lelaki itu untuk membersihkan halaman rumah.

Mayat wanita malang itu kemudian ditemui dalam keadaan bogel dan berlumuran darah oleh ahli keluarganya.

Metro.co.uk melaporkan Reece Dempster, 23, mengaku membunuh Dorothy Woolmer, 89, kerana terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Lelaki itu membuat pengakuan itu ketika didakwa di mahkamah, baru-baru ini.

Menurutnya, dia menyerang mangsa selepas memecah masuk rumah wanita terbabit kerana mahu mencuri barangan berharga yang boleh dijual.

Tertuduh mendakwa dia menyasarkan wanita itu kerana mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan selepas kematian suaminya.

Selepas menyerang mangsa dan mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa, lelaki terbabit kemudian meninggalkan tempat kejadian.

Dempster berjaya ditahan polis sehari selepas kejadian sebaik mendapat maklumat mengenainya menerusi cap jari yang ditemui di rumah berkenaan.Tertuduh kini menanti prosiding jatuh hukum atas kesalahan berkenaan.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 6:30am
d