global

Penembak Malala lolos penjara

Oleh Agensi

LELAKI yang menembak aktivis Pakistan, Malala Yousafzai, 22, dilaporkan meloloskan diri dari penjara tentera Pakistan.

Ehsanullah Ehsan yang juga jurucakap puak Taliban, Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) itu dikatakan berjaya berbuat demikian, Khamis lalu.

Menurut Gulfnews, pengganas paling dikehendaki itu membuat pengakuan kejayaan melarikan diri dari penjara dalam rakaman audio yang disebarkan menerusi platform pesanan mesej peribadi.

Pada 2012, Ehsanullah menembak Malala sebelum wanita itu ditauliahkan pemenang Anugerah Nobel Keamanan termuda.

Lelaki terbabit juga bertanggungjawab ke atas beberapa serangan di Pakistan dan dituduh melakukan serangan ke atas Sekolah Awam Tentera (APS) di Peshawar pada 2014 hingga mengakibatkan kematian 134 pelajar dan 15 kakitangan.

Dia juga dilaporkan terbabit dalam serangan berani mati di Rawalpindi dan Karachi menyebabkan sembilan pelancong asing terbunuh.

Bagaimanapun, pada 2017, Ehsanullah secara tiba-tiba menyerah diri kepada tentera Pakistan.

Selepas menyerah diri, televisyen Pakistan dibenarkan menemubual lelaki itu yang pada ketika itu mendakwa bekerja dengan agensi perisikan luar India.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun dalam tahanan, tentera Pakistan masih belum memfailkan sebarang dakwaan terhadap lelaki itu.

Dalam mesejnya Ehsanullah berkata, dia terpaksa melarikan diri berikutan institusi di Pakistan melanggar perjanjian ketika menyerah diri.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 6:01am
d