global

Makan burger ditanam 14 bulan

Oleh Agensi

MANCHESTER: Seorang lelaki mencari kelainan untuk sambutan ulang tahun kelahiran dengan memakan burger McDonald’s yang ditanam di belakang rumah rakannya di Barnsley, baru-baru ini.

Matt Nadin, 40, membeli satu set Big Meal yang lengkap bersama kentang goreng dari restoran makanan segera itu pada November 2018 sebelum menyimpannya di dalam bekas plastik dan menanam makanan itu.

Mirror melaporkan Nadin kemudian membuat keputusan untuk menggali semula dan memakan set burger yang ditanam selama 14 bulan sempena ulang tahun kelahirannya.

Menerusi bantuan rakannya, keputusan itu dibuat kerana mahu memastikan sambutan ulang tahun ke-40 itu menjadi detik yang tidak akan dilupakan.

Dalam perkongsiannya di saluran YouTube, Nadin memaklumkan burger yang ditanam itu dalam keadaan masih boleh dimakan selain membuktikan dia tidak mengalami sakit walaupun makan makanan yang tamat tempoh.

“Burger berkenaan tidak terlalu teruk kerana masih lembap namun salad sudah tiada rasa manakala, dagingnya sedikit keras. Minuman susu kocak pula rasa pelik seperti air buah.

“Saya sudah mencuba beberapa kali memakan makanan yang pelik sejak belajar di kolej lagi. Saya tidak pernah sakit walaupun makan makanan yang tamat tempoh,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 7:30am
d