global

Wanita Arab Saudi bebas merokok di khalayak

Oleh AFP

Riyadh: Rima menarik kerusi di sebuah kafe mewah, memandang sekeliling dengan berhati-hati, sebelum mengeluarkan rokok elektronik dan mula menghembuskan asap.

“Saya rasa merokok di tempat awam adalah lambang kebebasan. Saya gembira kerana sekarang saya boleh memilih,” kata wanita berusia 27 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Sama seperti feminis Barat pada awal kurun ke-20, era perubahan sosial di Arab Saudi menyaksikan sebahagian wanita boleh merokok, menghisap sisha dan vape, sebagai lambang pembebasan.

Senario pemandangan wanita merokok di khalayak ramai sudah menjadi kebiasaan beberapa bulan kebelakangan ini, iaitu situasi yang tidak pernah dibayangkan berlaku sebelum era reformasi bermula di negara ultra konservatif itu.

Pemerintah de factor, Putera Mahkota Mohammed Salman memperkenalkan beberapa inovasi dalam bidang ekonomi dan sosial untuk menunjukkan imej kesederhanaan dan mesra perniagaan.

Kini, wanita dibenarkan memandu, menghadiri acara sukan dan konsert, serta memiliki pasport tanpa kebenaran daripada penjaga lelaki.

Rima, yang mula merokok sejak dua tahun lalu menolak kebimbangan bahaya merokok, tetapi mengakui bimbang jika keluarga mengetahuinya.

Katanya, dia sudah bersedia untuk menanggung akibat daripada perbuatannya.

“Saya tidak akan memberitahu mereka ini berkaitan kebebasan peribadi saya, kerana mereka tidak akan faham bahawa wanita bebas merokok seperti lelaki,” katanya

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 2:38pm
d