global

Pekerja mandi dalam sinki dipecat

Oleh Agensi

Chicago: Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera di Greenville, Michigan dibuang kerja kerana berkelakuan tidak senonoh iaitu mandi di dalam sinki industri di dapur restoran itu sebelum memuat naik video berkenaan di aplikasi media sosial.

Mirror UK melaporkan, video berkenaan meraih lebih 36,000 tontonan dan turut dikongsikan warganet di platform laman sosial lain.

Rakaman video berdurasi 23 saat itu menunjukkan seorang lelaki duduk di dalam sinki yang dipenuhi air berbuih.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan berbogel atau sebaliknya kerana hanya sebahagian badan dan lututnya yang kelihatan di dalam video berkenaan.

Turut kelihatan di dalam video itu seorang lagi lelaki yang dipercayai pekerja restoran makanan segera berkenaan.

“Rasa seperti mandi di dalam tab panas. Saya hanya seronok dengan kehidupan ini, tuan,” katanya yang turut ketawa di dalam video berkenaan.

Sementara itu, jurucakap dan Naib Presiden Sumber Manusia syarikat, Christian Camp berkata, pekerja terbabit diberhentikan serta-merta, selepas pihaknya menerima maklumat mengenai penularan video berkenaan dan kawasan restoran juga dibersihkan sepenuhnya.

“Perbuatan itu tidak boleh diterima kerana menyalahi etika kerja, keselamatan, latihan dan prosedur piawaian operasi yang ditetapkan.

“Langkah sepatutnya sudah diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.

Insiden itu mengundang kemarahan ramai, namun restoran berkenaan kembali beroperasi seperti biasa pada 11 Februari lalu.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 9:00am
d