global

Bakar 3 gereja kerana imej

Oleh Agensi

Louisiana: Seorang lelaki berhadapan hukuman penjara sehingga 70 tahun selepas mengaku membakar tiga gereja bagi menaikkan reputasinya sebagai pemuzik Black Metal.

BBC melaporkan, Holden Matthews, 22, mengaku membakar tiga gereja di St Landry Parish bagi menaikkan imejnya sebagai penyokong genre muzik berkenaan.

Dia yang juga anak kepada timbalan ketua polis daerah dikatakan meniru perbuatan yang dilakukan oleh pemuzik Black Metal Norway pada 1990-an.

Matthews melakukan perbuatan berkenaan seorang diri menggunakan gasolin dan alas kaki berminyak sekitar tengah malam dalam tempoh 10 hari.

Ejen Khas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Bryan Vorndran berkata, perbuatan itu dilakukan dengan sengaja dan menyebabkan kekecewaan dalam kalangan pengunjung setia gereja berkenaan.

Selepas setiap kebakaran yang dibuat, Matthews bercakap besar mengenai kelakuannya dalam kalangan pengikut Black Metal dan menghantar video serta gambar kepada rakannya.

Malah, dia juga merancang menggunakan satu daripada gambar gereja yang terbakar itu sebagai kulit album kumpulan muziknya, Pagan Carnage.

Namun, perbuatannya akhirnya terbongkar dan dia ditahan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 9:06am
d