global

Dia bukan bapa anakku

Oleh Agensi

Moscow: Seorang remaja perempuan yang sebelum ini mendakwa dirinya terlanjur dengan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun hingga mengandung akhirnya mengaku membuat dakwaan palsu.

Daily Mail melaporkan, Darya, 14, memberitahu polis yang dia sebenarnya dirogol seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Meskipun tidak rela, Darya mendakwa terpaksa melakukan hubungan seks bersama lelaki berkenaan yang turut mengugut untuk menggelarnya sebagai pelacur di media sosial, jika tidak menuruti kemahuannya.

Bagaimanapun, sebuah akhbar harian Russia, Komsomolskaya Pravda melaporkan polis sudah menahan suspek di rumahnya di Krasnoyarsk untuk siasatan lanjut.

Sumber terdekat keluarga memberitahu akhbar Darya terpaksa menipu sebelum ini kerana malu dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.

Sebelum ini, Darya mengejutkan ramai apabila muncul dalam sebuah program televisyen di Russia dan membuat pendedahan yang dirinya mengandung pada usia 13 tahun selepas ‘bersama’ Ivan, teman lelaki berusia 10 tahun.

Sejak itu, Darya kerap berkongsi gambar dan video di media sosial dengan kapsyen yang disertakan tanda pagar ‘Mengandung pada usia 13.’

Personaliti media sosial yang berasal dari bandar Zheleznogorsk itu bagaimanapun mengambil kesempatan atas liputan media terhadapnya untuk meraih tajaan.

Remaja itu juga dilaporkan sedia menerima tajaan dan mahu bekerjasama dengan jenama terkemuka.

Sementara itu, ibu Darya, Elena yang menghidap barah berkata, apa yang berlaku menjadi alasan untuk terus hidup melawan penyakit dan enggan anaknya menggugurkan kandungan.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 6:20am
d