global

Menteri Indonesia cadang kaya kahwin miskin

Oleh Agensi

JAKARTA: Seorang menteri di Indonesia mencadangkan individu kaya berkahwin dengan golongan miskin dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di republik itu.

Jakarta Post melaporkan, saranan itu dibuat oleh Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy.

Menurutnya, di Indonesia selaku negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, ajaran agama yang mengesyorkan ‘pencarian jodoh sama taraf’ sering disalah tafsir.

“Apa akan berlaku jika orang miskin mencari orang miskin lain untuk berkahwin? Ia hanya menjadikan isi rumah itu semakin miskin, inilah masalah yang Indonesia hadapi,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan data kerajaan, jumlah isi rumah miskin di republik itu dianggarkan mencecah lima juta.

“Jumlah isi rumah di Indonesia ialah 57.1 juta dan daripada jumlah ini, lima juta orang atau 9.4 peratus dikategorikan sebagai miskin.

“Jika dicampur dengan isi rumah yang hampir dalam golongan miskin, menyaksikan sebanyak 15 juta isi rumah bersamaan 16.8 peratus,” katanya.

Katanya, pihaknya mengesyorkan pengeluaran fatwa bagi menggalakkan perkahwinan rentas kelas sebagai salah satu penyelesaian.

Menteri Hal Ehwal Agama, Fachrul Razi, disarankan mengeluarkan fatwa bahawa orang miskin perlu mencari jodoh dalam kalangan orang kaya untuk berkahwin dan orang kaya juga perlu berbuat demikian.

Di Indonesia, pengeluaran fatwa bukan di bawah kuasa menteri, sebaliknya ia biasanya dibuat pertubuhan Islam seperti Majlis Ulama Indonesia selepas bermusyawarah dan kajian dengan Suruhanjaya Fatwa atau pakar agama.

Dalam pada itu, Muhadjir juga mencadangkan pelaksanaan program pensijilan sebelum bernikah.

“Program pranikah ini dilaksanakan di beberapa negara seperti Korea Selatan, Malaysia dan Singapura sebagai langkah mengurangkan kadar kemiskinan.

"Matlamatnya, selepas perkahwinan pasangan akan membentuk isi rumah yang stabil," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 8:59pm
d