global

'Buaya tayar' jadi roti

Oleh Agensi

Jakarta: Populariti ‘buaya tayar’ di Sungai Palu, Sulawesi Tengah yang masih belum ditangkap mencetuskan idea kepada seorang pembuat roti untuk menghasilkan roti berbentuk reptilia malang itu.

Jakarta Post melaporkan, pembuat roti itu, Abraham, 58, mendapat idea berkenaan selepas menyaksikan berita mengenai usaha menangkap haiwan itu mendapat liputan meluas.

“Selepas melihat liputan meluas media mengenai buaya ini, saya mendapat idea untuk menghasilkan roti berbentuk buaya dan turut dilengkapi lilitan tayar pada lehernya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sedar bahawa hasil kreativitinya itu mendapat sambutan hangat sehinggalah ia menerima tempahan yang banyak.

“Saya tidak sangka roti ini akan tular. Saya dan kakitangan perlu bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan yang tinggi daripada pelanggan,” katanya yang menjual roti berkenaan pada harga Rp7,000 (RM2.13) hingga Rp80,000 (RM24.30) bergantung kepada saiz.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 8:35pm
d