global

Hosni Mubarak meninggal dunia

Oleh Reuters

Kaherah: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak meninggal dunia pada usia 91 tahun selepas menjalani pembedahan minggu lalu, lapor stesen televisyen tempatan.

Anaknya, Alaa Mubarak membuat hantaran di Twitter pagi semalam dan menyatakan “pagi ini, bapa saya, presiden Mubarak meninggal dunia.”

Abang ipar Mubarak, Jeneral Mounir Thabet memaklumkan keluarganya berada di hospital dan pejabat presiden akan mengadakan majlis pengebumian.

Mubarak dilaporkan berdepan penyakit sejak sekian lama dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) baru-baru ini.

Beliau memegang tampuk pemerintahan pada 1981, selepas pembunuhan presiden sebelumnya, Anwar al-Sadat dan kekal sebagai ketua negara selama tiga dekad.

Beliau kemudiannya digulingkan dalam kebangkitan demokrasi yang melanda negara Arab pada 2011.

Mubarak juga berdepan beberapa pertuduhan selepas digulingkan, termasuk kematian penunjuk perasaan pada 2011 dan rasuah.

Sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Hosni pada 2012 kerana dituduh bertanggungjawab ke atas kematian lebih 800 penunjuk perasaan pada 2011.

Bagaimanapun, sebuah mahkamah lain membatalkan keputusan itu atas alasan teknikal dan mengarahkan perbicaraan semula.

Mahkamah itu membatalkan tuduhan berkenaan pada November 2014.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 7:59pm
d