global

Pembunuh berlakon filem

Oleh Agensi

SEORANG pelakon di India yang gemar melakonkan watak jahat dalam filem sebenarnya adalah suspek kes bunuh, dua tahun lalu.

Sanjay Pandey dikatakan melarikan diri selepas membunuh bapa saudaranya dan menyara hidup dengan berlakon.

Rahsianya terbongkar selepas polis menahan lelaki terbabit di set penggambaran filem di India.

Dia ditahan di bandar Gorakhpur yang bersempadan dengan Uttar Pradesh, baru-baru ini.

Gulf News melaporkan bahawa Sanjay berasal dari daerah Siwan, Bihar.

Berdasarkan laporan itu, polis sebelum itu mendapat maklumat bahawa ada penjenayah berlakon filem di Patna.

Susulan itu, sepasukan polis ke lokasi penggambaran dan mendapati lelaki terbabit mempunyai senjata api tanpa lesen.

Ketika soal siasat, suspek mengakui dia melarikan diri selepas membunuh bapa saudaranya selepas mereka berselisih faham kerana hal tanah.

Sanjay mengakui gemar berlakon watak jahat dalam filem.

Menurutnya, kerjaya sebagai pelakon memberi pendapatan yang agak lumayan dan memberinya peluang untuk menjadi terkenal.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:01am
d