global

Nasib baik dah mendarat...

Oleh Agensi

PENUMPANG Pakistan International Airlines (PIA) berdepan detik mencemaskan apabila pintu kecemasan tiba-tiba terbuka ketika pesawat itu mendarat di landasan lapangan terbang.

Gulf News melaporkan kejadian itu berlaku ketika pesawat dalam perjalanan dari sini ke Sukkur, salah satu bandar di Pakistan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden berkenaan.

Salah seorang penumpang wanita memberitahu kejadian itu mengejutkan semua yang berada di dalam pesawat.

Malah, dia dapat melihat ramai penumpang menjerit ketakutan ketika kejadian itu berlaku.

“Ada juga penumpang sempat merakam video menggunakan telefon bimbit mereka tetapi tiada yang berani menyentuh pintu berkenaan.

“Mujurlah, ia tidak berlaku ketika pesawat berada di udara,” katanya.

Jurucakap PIA, Abdullah Hafeez menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati pintu berkenaan terbuka kerana ada penumpang yang menyentuhnya ketika bangun tidur.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 6:01am
d