global

Gurauan jadi nyata

Oleh Agensi

SEJARAH berulang apabila suami isteri sekali lagi dikurniakan anak kembar.

Daily Mail melaporkan, lebih menarik perhatian apabila tarikh kelahiran itu sama dengan anak kembar mereka sebelum ini, Lexie dan Lola yang dilahirkan sambutan Hari Kekasih iaitu pada 14 Februari.

Menurut laporan The Sun, bayi diberi nama Ava dan Ella itu lahir lapan minggu lebih awal, daripada tarikh dijadualkan iaitu pada 7 April depan.

Ibu bayi kembar itu, Joanna Grogory, 40, berkata, dia tidak sangka gurauannya dengan suami, Chris Lovell, 40, untuk meraikan ulang tahun kelahiran empat anak mereka sempena Hari Kekasih menjadi kenyataan.

Kembar itu terpaksa berpisah buat sementara waktu kerana salah seorangnya, Ella ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital berikutan berat badannya yang terlalu ringan.

Namun, mereka kembali disatukan hujung minggu lalu selepas beransur stabil dan sedia dibawa pulang ke rumah.

“Kelahiran kali ini amat bermakna, malah seperti satu keajaiban buat saya dan suami.

“Cuma, saya berasa agak sedih kerana tidak dapat mendukung dan memegang mereka selama tiga hari, sebaliknya hanya dapat menatap mereka.

“Ikutkan, saiz Lola dan Lexie kecil ketika dilahirkan tetapi Ella dan Ava lebih ringan daripada mereka berdua,” katanya.

Sementara itu, Chris berkata, dia tidak menyangka akan dikurniakan lagi anak kembar selepas lima tahun dan sangat teruja dengan kelahiran itu.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 6:00am
d