global

Wartawan tertekan 'filter'

Oleh Agensi

SEORANG wartawan di North Carolina, Amerika Syarikat membuat kesilapan melucukan ketika melaporkan berita menerusi platform Facebook (FB) Live.

CNN melaporkan ia apabila Justin Hinton secara tidak sengaja menekan butang filter sebelum melaporkan mengenai keadaan cuaca bersalji yang melanda negeri berkenaan.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, Hinton yang juga wartawan stesen televisyen tempatan pergi ke Madison County, North Carolina untuk melaporkan salji tebal yang membahayakan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, ketika dia mula bersiaran menerusi FB Live, dia tidak menyedari pelbagai imej comel keluar di platform itu.

Sebagai wartawan profesional, lelaki itu cuba bertenang tetapi semakin lama, semakin banyak imej lain yang keluar.

Ada imej menunjukkan seperti dia memegang payung, dumbell dan seperti memakai topi keledar.

Selain itu, dia juga dilihat dengan mata besar dan jambang berwarna ungu.

Menurut Hinton, dia tidak sedar menekan butang secara automatik sebelum bersiaran.

Jurugambar yang membantu memegang telefon bimbit juga tidak sempat memperbetulkan kesilapan itu.

Bagaimanapun, kesilapan tidak disengajakan itu menyebabkan ramai geli hati.

Ini termasuk pegawai atasan kepada wartawan berkenaan.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 6:01am
d