global

Terapi 'hancing'

Oleh Agensi

MELOYAKAN apabila seorang lelaki di United Kingdom mengamalkan tabiat pelik dengan minum air kencing untuk awet muda.

Malah, Harry Matadeen, dari Farnborough, Hampshire, mendakwa dia turut menyapu air kencingnya itu ke muka sebagai krim anti penuaan.

Selain itu, lelaki itu mendakwa air kencing dapat dijadikan terapi untuk mengurangkan tekanan.

Daily Mail melaporkan lelaki berusia 32 tahun itu sudah mengamalkan minum air kencing itu sejak empat tahun lalu.

Setiap hari, dia akan minum air kencing yang disimpan antara dua minggu dan sebulan.

Lelaki itu berkata, ia akan ditambah dengan air kencing ‘segar’, setiap hari.

Matadeen berkata, pada mulanya, dia sukar untuk minum air itu, tetapi lama-kelamaan menjadi biasa.

Biarpun ia dianggap jijik oleh kebanyakan orang, lelaki itu turut menulis dua buku berkisar mengenai air kencing sebagai terapi.

Lebih pelik lagi, dia berazam mahu mendidik masyarakat negara itu mengenai amalan berkenaan.

“Pada saya, ia adalah sangat berkuasa! Terapi (air kencing) ini menyebabkan saya berasa lebih sihat. Selain itu, ia mengurangkan tekanan,” katanya.

Matadeen mendakwa amalannya itu menyebabkan ada yang menganggap dia berusia 20-an.

“Saya bukan seorang yang berlagak, jadi dianggap muda bukannya sesuatu yang saya cari.

“Paling penting, saya mendapatnya (kelihatan lebih muda) dengan cara yang percuma,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 6:01am
d