global

Zero Zero Three dapat pizza

Oleh Agensi

Mexico: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia pada nama. Itu gambaran boleh diberikan kepada seorang lelaki di Mexico apabila nama peliknya ‘Zero Zero Three’ berjaya memenangi dua pizza sekali gus menjadi terkenal sekelip mata.

Zero Zero Three berjaya mengalahkan peserta lain dalam satu pertandingan nama pelik di sebuah restoran pizza terkemuka di Merida, di sini.

Restoran itu mengadakan pertandingan nama pelik dan pemenang layak mendapatkan promosi menarik.

Zero Zero Three berjaya mengalahkan peserta nama pelik lain seperti Vercingetoriz, Nivea dan Bahtzibadi apabila nama Sepanyolnya Cero Cero Tres (Zero Zero Three) diumumkan sebagai pemenang dan memenangi dua pizza pepperoni besar hanya dengan harga 49 peso.

Portal odditycentral melaporkan anak ketiga daripada empat beradik itu dibesarkan di Amerika Syarikat dan hanya mengetahui nama penuhnya Cero Cero Tres Miller Santos Chablé ketika berusia 15 tahun selepas kembali semula ke Mexico.

Sebelum itu, dia yang dibesarkan di Amerika Syarikat dipanggil dengan nama Bambino oleh keluarga dan rakan.

Bagaimanapun, keluarganya memutuskan sudah tiba masanya untuk dia mengetahui nama sebenarnya dan menyerahkan sijil kelahirannya.

Itulah kali pertama dia mengetahui nama sebenarnya Zero Zero Three.

Menurutnya, ibunya yang mahu mendaftarkan namanya 003, namun permintaan mereka ditolak kerana angka tidak dapat diterima sebagai nama sebelum mereka mengubahnya kepada Zero Zero Three.

Mengakui nama peliknya itu sering menyebabkan dia dibuli di sekolah namun perlu membiasakan diri dengan nama itu.

“Saya akui sering dibuli kerana nama pelik saya, tetapi lama kelamaan saya belajar ini adalah sebahagian daripada identiti saya, saya tidak malu untuk mengatakan ini adalah saya nama,” katanya.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 12:15pm
d