global

Buka pintu migran ke Eropah

Oleh AFP

Pazarkule (Turki): Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mengancam untuk membiarkan ribuan pelarian menyeberang ke Eropah dan memberi amaran kepada Damsyik akan menerima akibatnya selepas berpuluh-puluh tentera Turki terbunuh di Syria.

Erdogan berkata, beliau akan membiarkan pelarian berhijrah ke Eropah dari negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Apa yang kita buat semalam? Kami membuka pintu," kata Erdogan di Istanbul.

"Kami tidak akan menutup pintu .... kenapa? Kerana Kesatuan Eropah harus menunaikan janji-janjinya,” katanya merujuk kepada kesepakatan pada 2016 dengan Kesatuan Eropah bagi menghentikan penghijrahan pelarian sebagai pertukaran bantuan berbilion euro.

Kenyataan Erdogan itu adalah yang pertama sejak 34 tentera Turki terbunuh pada Khamis di Idlib Syria, di mana pasukan rejim Syria disokong Moscow bertempur bagi merampas semula kawasan dikuasai pemberontak.

Untuk rekod, terdapat 3.6 juta pelarian Syria di Turki.

Terdahulu, polis Greek bertembung dengan beberapa ribu pendatang selepas mereka melempar batu kepada pasukan keselamatan yang menembak gas pemedih mata di sempadan.

Dalam perkembangan sama, Turki dan Russia mengadakan perbincangan untuk meredakan ketegangan selepas serangan udara membunuh tentera Turki, mencetuskan kebimbangan terhadap perang yang lebih luas dan krisis migrasi baharu kepada Eropah.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu berkata, hampir 50,000 pendatang meninggalkan Turki untuk berada di Eropah melalui wilayah barat Edirne, bersempadan Greece.

Manakala, Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, kakitangannya melaporkan seramai 13,000 pendatang berkumpul di sempadan Turki-Greek, lewat Sabtu.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 8:39am
d