global

Empat beranak bersanding serentak

Oleh Agensi

Jawa Barat: Gambar empat beranak bersanding termasuk ibu mereka menjadi tular di media sosial apabila warganet mendoakan empat beranak itu hidup bahagia.

Detik bahagia ibu bersama tiga anak perempuannya bersanding di padang bola sepak Pasirpeti, Desa Andapraja, Ciamis, di sini, dipercayai berlangsung Selasa lalu.

Detiknews melaporkan, seorang daripada pengantin wanita bernama Tati memberitahu, acara persandingan satu keluarga itu diatur sudah lama namun masing-masing akad nikah hari berbeza.

“Memang takdir juga sudah jodoh datang bersama,” kata Tati.

Katanya, persandingan itu menarik perhatian apabila pelamin diatur berderet panjang sehingga bukan jemputan juga datang menghadiri persandingan empat beranak itu.

Mereka nampak bahagia dengan menggunakan persalinan pengantin senada berwarna emas dan krim.

Pasangan Tita, 23, bersama suaminya, Iman, 21, melangsungkan akad nikah pada 5 Februari diikuti Resi,19, dan Udi, 24, sehari selepas itu.

Selepas itu, Eti, 48, yang juga ibu kandung tiga mempelai wanita itu menikah dengan Suparman, 38, pada 9 Februari diikuti anaknya Tati, 25, dengan Irfan, 35, pada 20 Februari.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 12:02pm
d