global

Polis NZ tahan lelaki buat ugutan

Oleh AFP

Wellington: Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang membuat ugutan melampau terhadap salah satu masjid yang diserang pengganas, tahun lalu.

Kejadian itu ketika New Zealand bersiap sedia untuk ulang tahun pertama serangan yang mengorbankan 51 orang Islam itu.

Susulan itu, polis kini mempertingkat rondaan di sekitar kawasan dua masjid yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Mesej rahsia lelaki berkenaan dibuat menerusi aplikasi mesej dikatakan menunjukkan seorang lelaki memakai topeng muka berada di dalam kereta di luar Majid Al Noor.

Ia disertakan dengan mesej dan emoji senjata api.

“Perkara ini tiada tempat di Aotearoa New Zealand, kita sama sekali tidak boleh bertoleransi dengan perkara ini,” kata Komander Polis Canterbury John Price sambil merujuk nama negara itu dalam Bahasa Inggeris dan Maori.

Beliau berkata, lelaki itu yang tidak dinamakan, ditahan selepas polis melakukan pemeriksaan di sebuah lokasi di Christchurch.

Dalam pada itu, lelaki yang menyerang dua masjid di negara itu pada tahun lalu, Brenton Tarrant, yang juga warga Australia akan dibicarakan atas tuduhan keganasan pada 2 Jun depan.

Dia juga berdepan 51 tuduhan membunuh dan 40 dakwaan cubaan membunuh.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 1:43pm
d