global

Bintang K-Pop jalani latihan tentera

Oleh Agensi

Seoul: Bintang K-Pop yang juga bekas ahli kumpulan BigBang, Seungri dijadualkan melapor diri untuk menjalani latihan ketenteraan bersama pasukan tentera Korea Selatan, hari ini.

South China Morning Post melaporkan, selebriti berusia 29 tahun itu bagaimanapun tidak terlepas daripada pertuduhan kerana tetap akan didakwa di mahkamah tentera atas kesalahan terbabit dalam kegiatan menguruskan khidmat pelacuran dan perjudian.

Seungri akan menjalani latihan di kem ketenteraan berpangkalan di daerah Cherwon yang terletak di wilayah Gangwon dan dijangka dibebaskan pada 16 September 2021.

Dia sepatutnya memulakan latihan pada Mac tahun lalu tetapi ditangguhkan bagi memberi laluan kepada siasatan terhadapnya.

Pegawai Pentadbiran Ketenteraan dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak pendakwa raya untuk membuat keputusan yang adil dan konsisten.

Seungri atau nama sebenarnya, Lee Seung-hyun membuat kemunculan bersama BigBag pada 2006 dan mula dikenali dengan lagu Day by Day.

Bagaimanapun, Seungri mengambil keputusan keluar daripada BigBang selepas dia dan rakan kongsinya dituduh menguruskan khidmat seks untuk pelabur potensi dan pelanggan kaya di sebuah kelab malam dimiliki mereka.

Kedua-duanya juga dituduh menggelapkan kira-kira 530 juta won (RM1.86 juta) daripada perniagaan itu dan berdepan dakwaan melanggar kod kebersihan di kelab malam terbabit, di mana pengedaran dadah berleluasa dan wanita kerap dirogol.

Polis dan pihak pendakwa raya sudah memohon mahkamah Korea Selatan mengeluarkan waran tangkap ke atas bintang K-pop itu sebelum ini tetapi ditolak.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul memaklumkan keputusan itu dibuat kerana wujud pertikaian berhubung dakwaan menggelapkan wang dan kemungkinan selebriti berkenaan memusnahkan bukti.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 9:28pm
d