global

Zirafah putih dibunuh

Oleh Agensi

Kenya: SEEKOR zirafah betina putih di Kenya mati bersama anaknya akibat dibunuh pemburu haram di timur Afrika.

Memetik laporan The East African, zirafah terbabit adalah spesies jarang dan sukar ditemui di dunia.

Pengurus Komuniti Konservasi Ishaqbini Hirola, Mohammed Ahmednoor berkata, mereka hanya menemui rangka dua haiwan itu selepas sekian lama usaha pencarian dilakukan.

“Hari paling sedih buat masyarakat Ijara dan seluruh Kenya.

“Kematian zirafah ini satu tamparan kepada masyarakat setempat yang memerlukan sokongan berterusan dalam usaha pemuliharaan spesies unik dan jarang jumpa ini,” katanya.

Zirafah itu digambarkan sebagai unik dan dipercayai satu-satunya spesies di dunia hingga mempesonakan komuniti setempat, saintis dan pencinta haiwan liar di seluruh dunia.

Saintis percaya zirafah itu mengalami satu keadaan genetik dikenali sebagai leucisme yang menghalang sel kulitnya daripada mengeluarkan pigmen.

Ogos lalu, Northern Rangelands Trust mengumumkan zirafah betina itu melahirkan anaknya di pusat konservasi itu.

Kelahiran zirafah jantan itu menjadikan jumlah spesies itu mencecah tiga ekor di seluruh Kenya.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 9:48am
d