global

Gunung Everest ditutup, ekspedisi ditangguh

Oleh Reuters

NEPAL menutup seluruh Himalaya termasuk Gunung Everest berikutan penularan wabak Covid-19.

Berikutan itu, Menteri Pelancongan Yogesh Bhattarai mengumumkan, semua ekspedisi pendakian sepanjang musim ini antara Mac hingga Mei akan ditangguhkan.

“Pendakian pada musim ini ditutup.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga (Covid-19),” katanya.

Nepal memegang rekod memiliki lapan puncak tertinggi daripada 14 gunung tertinggi dunia termasuk Gunung Everest.

Tarikan berkenaan memberikan pulangan lebih AS$4 juta (RM17.1 juta) hasil kutipan yuran permit ke puncak gunung berkenaan setiap tahun.

Penangguhan sebarang ekspedisi di negara itu akan menjejaskan ratusan pendaki asing yang kini sedang melakukan persiapan mendaki untuk musim bunga.

Setakat ini, Nepal mengesahkan cuma satu kes jangkitan Covid-19 membabitkan penuntut China yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara asal.

Penuntut itu disahkan positif daripada 450 orang yang menjalani ujian saringan.

Nepal dilaporkan turut menghentikan pengeluaran visa ketibaan (VoA) sehingga 30 April depan.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 4:45pm
d