global

Bunuh anak minta duit

Oleh Agensi

Jawa Barat: Disebabkan meminta wang untuk lawatan sekolah, seorang remaja perempuan dicekik bapanya sehingga meninggal dunia.

Tribun News melaporkan dua beranak berkenaan sebelum itu bertelingkah yang menyebabkan lelaki berusia 45 tahun bertindak di luar kawalan.

Dia dikatakan berang dengan anaknya, Delis Sulistina,13, yang berterusan meminta wang 400,000 rupiah (kira-kira RM116) untuk mengikuti lawatan anjuran sekolahnya.

Ketika itu, lelaki berkenaan hanya mempunyai 300,000 rupiah (RM87) yang diperoleh hasil pinjaman daripada majikannya.

Menurut ibu remaja itu, Wati Candrawati, 46, hubungan Delis dan bapanya tidak baik dan remaja itu membesar dengannya selepas dia berpisah dengan bekas suami sejak lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kota Tasikmalaya Anom Karibianto mengesahkan pihaknya menerima petunjuk baharu selepas proses rekonstruksi (lakonan semula) pada Khamis lalu.

“Lelaki berusia 45 tahun itu berselisih faham dengan anaknya selepas mangsa meminta 400,000 rupiah tetapi bapanya hanya ada 300,000 rupiah.

“Suspek akhirnya hilang pertimbangan dan mencekik leher Delis sehingga mati,” katanya.

Kematian remaja malang itu menyayat hati apabila mayatnya ditemui di longkang depan sekolahnya pada 27 Januari lalu, iaitu empat hari selepas keluarganya melaporkan kehilangannya.

Polis pada mulanya membuka kertas siasatan mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun, namun membuat rekonstruksi semula Khamis lalu, yang merungkai kisah sebenar kematian remaja berkenaan.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 11:33am
d