global

Hilang selepas gelar Presiden China 'badut'

Oleh Reuters

Beijing: Seorang taikun hartanah di China yang pernah menggelar Presiden China, Xi Jinping sebagai ‘badut’, dilaporkan hilang.

Ren Zhiqiang memberi gelaran berkenaan selepas mendengar ucapan Xi mengenai usaha kerajaan menangani Covid-19 pada 23 Februari lalu.

Tiga rakannya cuba menghubunginya namun gagal.

Ren yang juga ahli Parti Komunis dan bekas eksekutif kanan syarikat pemaju hartanah milik kerajaan, Huayuan Real Estate Group tidak dapat dihubungi sejak 12 Mac lalu.

Teman rapat dan ahli perniagaan, Wang Ying menyifatkan kehilangan Ren sebagai ‘sangat membimbangkan’.

“Ramai rakan kami cuba mencarinya. Ren Zhiqiang adalah seorang yang dikenali umum dan kehilangannya diketahui ramai.

“Pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara ini perlu memberi alasan kukuh secepat mungkin,” katanya.

Panggilan yang dibuat pihak Reuters juga gagal dijawab.

Polis Beijing tidak memberikan maklum balas untuk sebarang komen melalui telefon atau faks pada hari Ahad.

Sebelum ini, Ren menulis esei yang dikongsi dengan beberapa individu dikenalinya mengkritik ucapan Xi pada 23 Februari lalu.

Namun, esei berkenaan kemudiannya dikongsi dalam talian oleh orang lain.

Dalam esei berkenaan, tanpa menyebut nama Xi, Ren berkata, selepas meneliti ucapan yang dibuat, dia ‘bukan melihat seorang pembesar berdiri mempamerkan pakaian barunya, sebaliknya menyaksikan seorang badut bogel yang bersungguh-sungguh mahu kekal sebagai pembesar’.

Ren juga mendedahkan krisis tadbir urus dalam parti selain mengkritik kebebasan bersuara dan media dalam melaporkan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan ia lambat diatasi.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 3:33pm
d