global

Covid-19 sudah diramal?

Oleh Agensi

THE Stand, novel karya Stephen King mengenai virus selesema digelar Captain Trips tersebar di seluruh dunia, telah dianggap pengguna Twitter sebagai sama dengan koronavirus (Covid-19).

Daily Express melaporkan seorang pengguna Twitter menciap, “Kepada sesiapa yang peduli, saya mengambil gambar empat muka surat The Stand yang mana King menggambarkan penularan wabak dalam komuniti sangat tepat.”

Ada pula yang mahu merujuk Covid-19 sebagai Captain Trips dalam novel terbitan 1978 itu yang turut diangkat dalam komik dan drama.

“#COVID19 @StephenKing saya tidak mengatakan ini paling terbesar. Namun saya pasti semua orang mengalami mimpi sama - seorang wanita kulit hitam memetik gitar dan lelaki gelap mengejar kita di ladang jagung #CaptainTrips,” kata seorang lagi pengguna Twitter.

Peminat King kebanyakannya takut dengan gambaran Captain Trips, namun King sendiri membalas ciapan peminatnya dengan mengatakan perkara itu tidak seperti telahan mereka.

“Tidak. Koronavirus bukan seperti The Stand. Ia langsung tidak menyerupainya. Sentiasa tenang dan ambil semua langkah pencegahan yang munasabah,” katanya.

Menurut King, Captain Trips lebih buruk daripada koronavirus kerana digambarkan tiada seorang pun terselamat.

Namun, novel itu bukanlah buku pertama yang didakwa meramal wabak Covid-19, sebaliknya karya Dean Koontz menerusi The Eyes of Darkness turut mempunyai rujukan khusus.

Menerusi novel itu dinyatakan virus pembunuh yang digelar Wuhan-400, yang pembaca kaitkan dengan nama bandar di China, tempat bermulanya Covid-19.

Watak dalam novel itu membincangkan mengenai peperangan biologi dan menamakannya sebagai ‘senjata yang sempurna’.

Seorang peminat novel itu menulis, “Itu gila. Dia (Koontz) mungkin tiada petunjuk apa-apa ketika menulis novel itu.”

Ketika ini Koontz tidak menjawab pendedahan mengejut berkenaan.

Menurut CNN, dalam edisi asal novel itu yang dikeluarkan pada 1981, senjata berkenaan dinamakan Gorki-400 mengambil kira lokaliti orang Russia.

Ia kemudian ditukar nama kepada Wuhan-400 apabila buku itu diterbitkan semula pada 1989, menurut South China Morning Post.

Disiarkan pada: March 15, 2020 @ 3:35pm
d